Kia Sales Malaysia umumkan yang mereka dah lantik Cycle & Carriage Group (C&C) sebagai rakan pengedar kenderaan Kia di Malaysia. Kerjasama itu dimaklumkan dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur disertai CEO Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim dan CEO Cycle & Carriage Malaysia, Adrian Short.
Cycle & Carriage adalah nama yang tidak asing dalam landskap automotif negara. Ia ada sejarah lebih 125 tahun bertapak di Asia Tenggara mengedarkan pelbagai jenama kenderaan termasuklah Mercedes-Benz. Pertambahan Kia dalam portfolio Cycle & Carriage dilihat sebagai sesuatu yang tepat kerana Kia boleh memanfaatkan rangkaian pengedaran dan servis selepas jualan yang komprehensif C&C di Malaysia.
Untuk makluman, Cycle & Carriage sudahpun menjadi pengedar tunggal Kia dalam pasaran Singapura dan kepercayaan Kia terhadap C&C untuk menjalankan projek yang sama di negara jirannya itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Hal ini kerana tak mungkin mereka nak wujudkan rangkaian penjualan dan servis selepas jualan daripada sifar.
Terdahulu dalam bulan Disember 2025, Bermaz Auto umumkan yang mereka menghentikan pengedaran kenderaan Kia di Malaysia kerana Kia sendiri inign masuki Malaysia sebagai prinsipal. Bermula Januari 2026 itu, Kia Sales Malaysia Sdn. Bhd. yang diwakili CEO Hyung Ho Kim dan pengurus besar Emily Lek menerajui jenama Kia di Malaysia.

