CATL dan Changan Automobile telah umumkan yang sebuah model pengeluaran massa kenderaan penumpang elektrik berasaskan bateri sodium akan masuki pasaran pertengahan 2026. Bateri garam pada EV sesuatu yang penting atas beberapa sebab.

Yang pertama adalah, bateri sodium gunakan bahan mentah yang sedia banyak dalam persekitaran dan lebih mudah dihasilkan, tak seperti bateri lithium. Perkara ini bolehkan kereta elektrik berasaskan bateri garam dijual lebih murah berbanding yang gunakan bahan lithium, nikel, dan kobalt.
Kereta elektrik yang bakal masuki pasaran itu katanya menggunakan bateri CATL Naxtra yang ada kepadatan tenaga 175Wh/kg yang boleh beri jarak gerak sehingga 400km. Untuk rujukan, kepadatan itu lebih rendah daripada bateri lithium CATL yang boleh pergi sehingga 500Wh/kg, tapi CATL katakan ia sudah cukup untuk dikomersialkan dan kemajuan penyelidikan bateri sodium dijangka akan mengejar bateri lithium dalam masa yang singkat.

Sungguhpun penyimpanan tenaga tak setinggi bateri lithium, kelebihan terbesar bateri garam adalah ia tahan cuaca sangat sejuk. Ia mampu untuk keklkan lebih 90% kapasiti bateri pada suhu serendah –50°C yang sangat memanfaatkan kenderaan elektrik di pasaran beriklim sejuk. Keselamatan bateri garam juga lebih baik. Pengeluarknya mendakwa yang ia tahan remuk dan bocor tanpa terbakar.
CATL melihat bateri garam sebagai pelengkap kepada bateri lithium kerana kedua-dua bateri ini akan berkongsi ekosistem dan bukannya menggantikan. Bateri garam akan cemerlang dalam pasaran beriklim sejuk sementara bateri lithium dikhaskan untuk kenderaan prestasi tinggi dan berjarak gerak jauh.
Sumber: CATL

